“Mereka seperti tiada penyesalan. Remaja tersebut langsung tak ucap kata maaf” – Sumber

Pada Sabtu lepas, satu sidang media yang diadakan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur telah mendedahkan dalang di sebalik tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 orang nyawa.

Tujuh remaja yang masih muda antara usia 11 hingga 18 tahun telah ditahan atas kesalahan khianat dengan api. Apa yang dapat disimpulkan pihak polis, tragedi ini berpunca dari ejekan antara kedua-dua belah pihak, lapor Harian Metro.

Apa nak jadi dengan remaja sekarang ni?

Malah lebih menyedihkan, mereka juga dikatakan langsung tidak mempunyai sebarang rasa penyesalan atas jenayah yang telah mereka lakukan. Kerasnya hati!

Menurut sumber kepada NST, suspek yang berusia 11 hingga 18 tahun telah mempamerkan wajah ‘tegang’ ketika ditanyakan soalan mengenai kelakuan keji mereka hingga mengakibatkan kematian 23 orang mangsa.

“Mereka seperti tiada rasa penyesalan. Remaja-remaja tersebut langsung tak ucap kata maaf kerana telah menyebabkan tragedi itu berlaku.

“Mereka hanya tunduk ke bawah hampir setiap masa bila ditanyakan tentang kejadian itu. Mungkin mereka sudah terima kenyataan yang mereka salah,” kata sumber.

Apa yang lebih mengejutkan ialah remaja-remaja ini langsung tidak menangis meskipun ada di antara mereka baru berusia 11 tahun. Kecil lagi tu!

Menurut sumber, remaja berkenaan memang berniat untuk membakar bangunan tahfiz tersebut sebagai cara untuk membalas dendam akibat pertengkaran yang berlaku di antara mereka baru-baru ini.

Dalam pada itu, penduduk berdekatan kawasan tragedi memberitahu mereka sering terserempak dengan suspek yang dikatakan kerap kali melepak di Taman Tasik Dato’ Keramat yang terletak betul-betul di belakang sekolah berkenaan.

Seorang penduduk yang berusia 40 tahun mengaku dia mengenali salah seorang suspek berdasarkan imej yang tular pada Sabtu lepas.

“Mereka yang ditahan itu dari kejiranan ini. Saya pernah melihat mereka beberapa kali sambil menunggang motosikal.

“Daripada apa yang kami (penduduk) tahu, kebanyakan mereka adalah anak pendatang asing yang menjadikan Dato’ Keramat sebagai rumah mereka. Budak-budak ini dilahirkan di sini tapi tidak ke sekolah.”

Dalam pada itu, Almy Zubir, 55, memberitahu dia juga mengenali suspek sebagai kumpulan yang kerap melepak di kawasan berdekatan tasik.

“Kami kerapkali diancam jenayah pecah rumah, yang mana penduduk di sini percaya dilakukan budak nakal yang melepak dekat kawasan ini sehingga awal pagi.
“Cuma saya masih tidak percaya bagaimana budak semuda 11 tahun, boleh lakukan perkara ini (bakar sekolah hingga sebabkan kematian),” katanya.

Walau bagaimanapun, Datuk Amar Singh dalam sidang media lalu menyifatkan kes ini telah selesai dengan tertangkapnya tujuh suspek tersebut. Suspek telah ditahan antara jam 6.30 petang, Jumaat lalu dan 2.30 pagi pada Sabtu lepas berikutan maklumat yang diperoleh dari rakaman CCTV dan hasil siasatan forensik.

Entah hati apa yang remaja ini ada. Langsung tak ada rasa kasihan. Syaitan apa yang dah rasuk mereka ni? Marilah kita doakan semoga mereka menyesal dan bertaubat dengan kesalahan yang telah mereka lakukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *